Friday, September 4, 2009

Rabu - 9 September 2009

Cara Lindungi Diri Dari Jenayah RagutBeg Tangan Selamat
Tidak salah kalau anda hendak bergaya dengan koleksi beg tangan yang ada dalam simpanan anda. Namun, pastikan ia sesuai dengan tempat yang anda pergi dan juga kenderaan yang anda naiki. Sekiranya anda menunggang motorsikal, lebih baik kalau anda memakai beg sandang agar tidak mudah diragut penjenayah. Jika anda seorang pejalan kaki serta pengguna pengangkutan awam, sebaik-baiknya elakkan daripada memakai beg yang diperbuat daripada kulit atau material kukuh yang lain. Ini penting kerana seandainya anda diragut dan tali beg tangan anda tidak terputus, berkemungkinan besar anda akan tercedera akibat tertarik bersama-sama dengan beg tersebut.

Laluan bertentangan
Jika anda sedang berjalan menuju ke hadapan, anda sudah tentu tidak nampak apa yang berlaku di hadapan anda. Pastikan anda berjalan mengikut arah yang bertentangan dengan lalu lintas jalan raya. Ini memberikan anda peluang untuk melihat dan mengenal pasti jika ada antara pengguna jalan raya yang berniat jahat terhadap anda. Jika anda menyedari ada yang tidak kena, cepat-cepatlah beralih ke tepi jalan raya dan bergeraklah dengan pantas. Pastikan juga kedudukan beg tangan anda tidak menghadap ke arah jalan raya.

Waspada selalu
Sama ada anda baru sahaja membeli barang berharga seperti emas atau membuat urusan pengeluaran wang di bank, segera simpan di dalam beg. Elak daripada terus mengira duit di hadapan mesin ATM atau membelek-belek barang berharga tersebut di tempat awam.

Berhati-hati di kedai makan
Menikmati hidangan ketika lapar memang meralitkan. Sentiasa berhati-hati dengan doompet atau beg tangan. Elakkan meletakkannya di atas meja kerana tanpa anda sedari sesiapa sahaja boleh mencapainya ketika lalu di sebelah anda.

Buat persediaan
Pastikan anda sentiasa membawa bersama sebarang peralatan yang boleh membantu anda ketika diserang oleh sebarang penjenayah seperti alat penyembur keselamatan atau botol berisi serbuk lada, payung dan sebagainya. Walau bagaimanapun, elakkan membawa pisau kerana walaupun ia bersaiz kecil, senjata ini boleh makan tuan.

Mengalah
Apabila anda tiba-tiba diragut atau disamun ketika sedang bersendirian, adalah lebih baik kalau anda beralah sahaja. Jangan sesekali cuba melawan kerana tenaga keupayaan anda mungkin tidak setanding dengan penjenayah.

Usah bersendirian
Pastikan anda tidak berseorang terutamanya pada waktu malam dan di tempat yang sunyi kerana jika tidak, anda lebih terdedah kepada risiko jenayah. Selain itu, elak daripada melalui jalan yang sama setiap hari kerana manalah tahu dalam diam-diam ada yang sedang memerhati dan merencanakan sesuatu yang tidak baik terhadap anda.

0 comments:

Post a Comment