Thursday, July 30, 2009

Rabu - 12 Ogos 2009

Langkah Selamat Bagi Anak Kecil Di Taman Tema
  • Kanak-kanak akan menjadi lebih aktif dan agresif apabila berada di taman tema. Dia juga akan terdorong untuk bermain macam-macam permainan. Adalah lebih baik jika anda membawa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi sepanjang berada di sana. Pastikan juga dia mengambil makanan sebelum pergi ke taman tema supaya dia ceria, bertenaga dan tidak cepat lesu, letih ataupun hilang mood.
  • Kenal pasti cuaca di taman tema yang bakal anda kunjungi. Berikan anak-anak anda pakaian yang sesuai. Sebaik-baiknya pakaikan dia seluar dan baju yang longgar supaya dia berasa selesa sepanjang berada di sana. Elakkan juga daripada memakai baju kurung ataupun skirt dan gaun labuh kerana ia boleh menjejaskan pergerakkannya. Jika hari panas, pakaikanlah pakaian yang berwarna terang.
  • Terdapat banyak permainan menarik di taman tema tapi bukan semua permainan sesuai dengan anak anda. Untuk keselamatannya, pastikan anak anda berada dalam keadaan sihat kerana jika dia tidak sihat, kemungkinan permainan-permainan tersebut boleh memudaratkan lagi kesihatannya.
  • Tidak betah duduk diam adalah perangai anak-anak kecil kebiasaannya. Jadi, berikan amaran dan terangkan kepadanya akibat jika dia melanggar keselamatan atau menceroboh kawasan larangan.
  • Sebelum menaiki sebarang permainan di taman tema seperti roller coaster, jelaskan terlebih dahulu kepada si kecil tentang pengalaman yang bakal dia tempuhi supaya dia lebih bersedia dan tidak berasa terkejut atau takut.
  • Sebelum membawa si kecil menaiki sesuatu permainan, anda harus bertanyakan terlebih dahulu pendapatnya. Biar dia memilih sendiri permainan yang ingin dinaikinya.
  • Minta anak anda duduk dengan tertib dan diam-diam, lebih-lebih lagi jika melibatkan ketinggian atau kelajuan yang tinggi. Kemaskan tali pinggang dan pesan kepadanya untuk memegang kuat-kuat kepada pemegang. Jangan sesekali cuba keluar daripada tempat duduk selagi permainan belum berakhir.
  • Jika anak anda ketakutan pada pertengahan permainan, cuba pujuk dan tenangkan dia. Pegang dan genggam tangannya erat-erat.

Wednesday, July 29, 2009

Rabu - 5 Ogos 2009

Apabila terlibat dengan Kemalangan Jalan RayaDapatkan butir-butir penting daripada pihak yg terlibat di dalam kemalangan tersebut seperti;
  • Maklumat kenderaan seperti nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit, tahun dibuat dan model kenderaan.
  • Maklumat pemandu terlibat seperti nama, alamat, nombor telefon pejabat, nombor kad pengenalan, nombor lesen memandu dan alamat kediamannya.
  • Nama pihak insurans yang mewakili mereka
Jika tidak terdapat pegawai polis yang bertugas di tempat kemalangan, buat laporan polis tentang kemalangan tersebut dalam tempoh 24 jam kemalangan berlaku di balai polis yang berhampiran. Jelaskan keadaan kemalangan berlaku dan menulis laporan polis menggunakan bahasa melayu. Jika anda tidak fasih dan tidak mahir menulis di dalam bahasa melayu, seorang pegawai polis akan membantu anda menulis laporan tersebut. Setelah selesai, anda akan diminta menurunkan tandatangan di bahagian bawah laporan tersebut. Simpan satu salinan laporan polis yang telah disahkan benar.

Baca polisi insurans anda dengan berhati-hati dan laporkan kemalangan yang berlaku kepada pihak insurans secepat mungkin atau dalam tempoh yang telah ditetapkan di dalam polisi insurans tersebut. Jumlah tuntutan yang difailkan mestilah tidak melebihi jumlah yang telah ditetapkan di dalam klausa tuntutan. Pihak insurans hanya akan membayar perbezaan antara jumlah tuntutan dan jumlah yang telah ditetapkan.

Pastikan kenderaan diselenggarakan oleh pihak bengkel yang bertanggungjawab. Kerosakan yang dialami oleh kenderaan akan dinilai oleh seorang penilai dari pihak insurans. Jika kemalangan disebabkan oleh pihak lain, anda harus menghubungi pihak insurans yang mewakilinya. Pastikan sama ada polisi insurans yang melindungi pemandu tersebut masih sah dan sama ada nombor tuntuan pampasan telah ditetapkan. Hubungi secara bertulis pihak insurans yang mewakili pemandu tersebut, menyatakan anda telah terlibat di dalam kemalangan dan mahu memfailkan tuntuan terhadapnya. Seorang penilai akan menghubungi anda dan menawarkan untuk menyelesaikan tuntutan khidmat kerosakan kenderaan dan kecederaan peribadi anda. Anda mungkin memerlukan khidmat peguam jika pihak insurans terbabit menolak tuntutan anda.

Wednesday, July 22, 2009

Rabu - 29 Julai 2009

Cegah Jenayah Rogol
(sambungan minggu lalu)Langkah-langkah Mencegah Jenayah Rogol
  • Pelbagai alatan dalam beg tangan boleh digunakan sebagai alat pertahanan diri. Sebagai contoh, pen, pensil, maskara, hujung sikat atau berus, kunci dan sebagainya. Spray minyak wangi atau rambut juga mampu menjadi senjata terutama apabila ia disembur pada mata. Gunakan alat berkenaan semasa anda diserang dan yang paling penting jangan merasa tertekan dan takut.
  • Alat berkenaan hendaklah ditujukan pada tempat yang boleh mencederakan penyerang iaitu mata, kerongkong atau leher, perut, lubang telinga, di bawah dagu dan sebagainya.
  • Jika anda keluar makan dengan orang yang baru dikenali, tahu apa yang anda minum dan siapa yang menghidangkannya. Jika boleh, ajak sesiapa menemankan anda. Pastikan anda pulang awal dan anda dijemput untuk pulang.

Thursday, July 9, 2009

Rabu - 22 Julai 2009

Cegah Jenayah Rogol
(sambungan minggu lalu)Langkah-Langkah Mencegah Jenayah Rogol
  • Pasang rantai atau kunci buka untuk pandang luar bukan setakat di pintu utama, malah di semua bilik. Jika pintu dibuka, rantai tersebut mampu menahan pintu daripada dibuka.
  • Jangan terima pelawaan untuk menaiki kereta daripada orang-orang yang tidak dikenali atau baru dikenali. Orang-orang yang dikenali juga perlu dikenal pasti dan diketahui oleh keluarga atau teman-teman rapat anda. Beritahu mereka melalui sms atau telefon bimbit tentang nombor kenderaan, warna dan jenis kereta.
  • Nasihatkan anak-anak anda supaya jangan menerima pelawaan untuk menaiki kenderaan, hadiah atau makanan daripada orang yang tidak dikenali ketika berada di luar rumah.
  • Tidak digalakkan meninggalkan anak gadis bersendirian dengan sebarang lelaki di rumah.
  • Lengkapkan diri anda dengan alatan pencegahan seperti siren yang kuat dan penyembur berlada (pepper spray). Hati-hati dengan penyembur berlada, ia turut boleh menjejaskan mata dan hidung anda. Lakukan semburan dengan memastikan ia ditujukan dengan betul dan anda segera larikan diri.
  • Telefon bimbit kini adalah kemudahan yang perlu. Ia boleh membantu anda dalam mendapatkan bantuan atau usaha menjejak anda. Ia tidak perlu mahal, asalkan ia booleh membuat panggilan dan SMS.

Wednesday, July 1, 2009

Rabu - 15 Julai 2009

Cegah Jenayah Rogol
(sambungan minggu lalu)
Langkah-langkah Pencegahan Jenayah Rogol
  • Elakkan dari melalui jalan-jalan di bahagian belakang atau kawasan-kawasan yang terpencil atau sunyi. Jika keadaan memaksa, pastikan anda memakai kasut yang sesuai, yang memudahkan anda melarikan diri.
  • Semasa di rumah, jangan membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali, pastikan pengenalan diri tetamu terlebih dahulu. Sentiasa bercakap dipisahkan antara pintu pagar atau gril berkunci. Hubungi orang terdekat untuk kepastian dan memberi maklumat. Jangan sesekali membuka pintu kepada sesiapa pun.
  • Jika mereka mengaku sebagai pihak berkuasa, minta mereka tunjukkan kad kuasa, dapatkan nombor telefon pejabat mereka untuk membuat pengesahan. Jangan berikan kebenaran untuk masuk jika anda seorang diri. Jika masih lagi meragukan dan mereka berkeras untuk masuk, minta mereka tunggu, sementara anda dapatkan orang lain untuk datang. Jika benar mereka pihak berkuasa, mereka akan menunggu sementara anda telefon dan mendapatkan orang lain supaya datang ke rumah untuk menemankan anda.
  • Dapatkan pengawai wanita dan anda perlu tegas tentang perlunya ada pegawai wanita turut serta untuk masuk ke rumah. Sekali lagi, minta mereka nombor hubungan pejabat dan anda telefon sendiri untuk memastikan kebenarannya. Jika tiada pihak polis mengiringi mereka, tanya mengapa dan jika perlu anda berhubung dengan balai polis terdekat untuk mendapatkan maklumat. Adalah penting untuk mendapatkan dan menyimpan nombor balai polis terdekat.
  • Pastikan rumah dimangga kunci sentiasa walaupun anda mungkin ingin keluar sebentar. Jangan lalai. Pastikan juga anda tahu di mana kunci berada dan pastikan ia di tempat yang tidak mudah dicapai dari luar. Periksa rumah untuk sebarang ruang yang boleh dipanjat masuk.